Pemikiran
masyarakat Melayu tradisional dan masyarakat Melayu moden sangat berbeza. Kebanyakan
mereka bersifat berat sebelah terhadap kepentingan anak perempuan dalam
keluarga. Mereka juga lebih mengutamakan anak lelaki kerana anak lelaki menjadi
harapan dan sandaran ibu bapa untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik
dan selesa. Faktor perbezaan ini kebanyakannnya adalah disebabkan keadaan
persekitaran dalam masyarakat tersebut dan taraf pendidikan mereka.
Masyarakat
tradisional boleh dikatakan berfikiran sempit dalam hal ehwal kehidupan mereka.
Tamsilnya, jika anak perempuan tidak lulus atau tidak cemerlang dalam
pelajaran, ibu bapa cenderung memilih untuk mengahwinkan anak perempuan mereka
dengan segera. Selain itu, kebanyakan golongan masyarakat tradisional merasakan
bahawa pendidikan bukan merupakan keperluan untuk kaum wanita. Bagi mereka,
tugas seorang wanita hanyalah di dapur dan menguruskan rumah tangga dengan
sempurna.
Tambahan
lagi, masyarakat dahulu sangat suka menjaga tepi kain orang lain. Mungkin
kerana rutin harian mereka yang kurang sibuk membuatkan mereka lebih bersifat
ingin tahu tentang keadaan sekeliling dan hal-hal setempat. Perkara ini
menyebabkan mereka sering memikirkan pandangan orang lain terhadap diri dan
kehidupan mereka. Contohnya, masyarakat dahulu percaya bahawa anak yang
dilahirkan kelainan upaya akan membawa bala kepada keluarga. Malahan, jika
kejadian buruk menimpa keluarga ketika kelahiran, anak itu akan dikatakan
pembawa malang. Oleh itu, kadangkala akan berlaku kes-kes seperti penderaan
atau buang anak.
Di
samping itu, mereka bukan sahaja berfikiran agak kolot, tetapi juga sesetengah
mereka mengamalkan khurafat. Ada orang dahulu yang 'membela' dengan tujuan
perlindungan diri, keluarga dan harta. Masyarakat dahulu juga lebih mempercayai
bomoh atau pawang untuk mengubati penyakit mereka berbanding doktor perubatan.
Hampir setiap perkara yang berlaku dalam hidup mereka akan dikaitkan dengan
perkara-perkara mistik. Sebagai contoh, seseorang itu tiba-tiba mengalami
busung perut akan dikatakan telah terkena buatan orang. Sebenarnya dalam
istilah perubatan, ia disebut sebagai ascites
iaitu pengumpulan bendalir dalam abdomen.
Kontra
dengan masyarakat tradisional, pemikiran masyarakat moden lebih rasional dan ke
hadapan. Jika anak mereka tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, ibu bapa
memilih alternatif lain untuk mencorakkan masa depan anak mereka seperti
menghantar ke pusat kemahiran. Taraf kaum wanita juga diangkat tinggi dalam
masyarakat moden apabila persamaan gender diimplementasikan; di mana wanita
kini boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki dan
pendidikan untuk golongan hawa amat dititikberatkan marcapada ini. Seterusnya,
masyarakat Melayu kini lebih bersikap individualistik dan tidak mempedulikan
hal orang lain. Kita sekarang tidak kisah dengan pandangan orang lain asalkan
dapat memuaskan hati kita. Kita juga lebih suka menyibukkan diri dengan urusan
masing-masing sehingga terlupa untuk bersosial dan bercampur gaul dengan
anggota masyarakat. Sementelahan itu, masyarakat moden kebanyakannya tidak
percaya kepada bomoh kerana ia khurafat. Apa-apa masalah yang abnormal pada
tubuh badan akan dirujuk dengan segera kepada doktor perubatan kerana
masyarakat moden lebih percayakan bukti kukuh hasil kajian sains.
Deduksinya,
perbezaan dan percanggahan pemikiran ini berlaku mengikut arus masa. Sesebuah
masyarakat itu akan melakukan transformasi secara perlahan-lahan tanpa mereka
sedari. Hal ini dibantu oleh sains dan
teknologi serta pendidikan yang disediakan dan didedahkan dalam masyarakat
tersebut. Jelasnya, setiap perubahan ini ada yang positif dan ada juga yang
negatif. Masyarakatlah yang harus bijak menilai dalam memilih untuk menjadi
masyarakat yang bagaimana.
No comments:
Post a Comment