Saturday, November 8, 2014

Cara Pemikiran Masyarakat Melayu-Wanita






Pemikiran masyarakat Melayu tradisional dan masyarakat Melayu moden sangat berbeza. Kebanyakan mereka bersifat berat sebelah terhadap kepentingan anak perempuan dalam keluarga. Mereka juga lebih mengutamakan anak lelaki kerana anak lelaki menjadi harapan dan sandaran ibu bapa untuk mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik dan selesa. Faktor perbezaan ini kebanyakannnya adalah disebabkan keadaan persekitaran dalam masyarakat tersebut dan taraf pendidikan mereka.

Masyarakat tradisional boleh dikatakan berfikiran sempit dalam hal ehwal kehidupan mereka. Tamsilnya, jika anak perempuan tidak lulus atau tidak cemerlang dalam pelajaran, ibu bapa cenderung memilih untuk mengahwinkan anak perempuan mereka dengan segera. Selain itu, kebanyakan golongan masyarakat tradisional merasakan bahawa pendidikan bukan merupakan keperluan untuk kaum wanita. Bagi mereka, tugas seorang wanita hanyalah di dapur dan menguruskan rumah tangga dengan sempurna.
Tambahan lagi, masyarakat dahulu sangat suka menjaga tepi kain orang lain. Mungkin kerana rutin harian mereka yang kurang sibuk membuatkan mereka lebih bersifat ingin tahu tentang keadaan sekeliling dan hal-hal setempat. Perkara ini menyebabkan mereka sering memikirkan pandangan orang lain terhadap diri dan kehidupan mereka. Contohnya, masyarakat dahulu percaya bahawa anak yang dilahirkan kelainan upaya akan membawa bala kepada keluarga. Malahan, jika kejadian buruk menimpa keluarga ketika kelahiran, anak itu akan dikatakan pembawa malang. Oleh itu, kadangkala akan berlaku kes-kes seperti penderaan atau buang anak.

Di samping itu, mereka bukan sahaja berfikiran agak kolot, tetapi juga sesetengah mereka mengamalkan khurafat. Ada orang dahulu yang 'membela' dengan tujuan perlindungan diri, keluarga dan harta. Masyarakat dahulu juga lebih mempercayai bomoh atau pawang untuk mengubati penyakit mereka berbanding doktor perubatan. Hampir setiap perkara yang berlaku dalam hidup mereka akan dikaitkan dengan perkara-perkara mistik. Sebagai contoh, seseorang itu tiba-tiba mengalami busung perut akan dikatakan telah terkena buatan orang. Sebenarnya dalam istilah perubatan, ia disebut sebagai ascites iaitu pengumpulan bendalir dalam abdomen.

Kontra dengan masyarakat tradisional, pemikiran masyarakat moden lebih rasional dan ke hadapan. Jika anak mereka tidak mampu cemerlang dalam pelajaran, ibu bapa memilih alternatif lain untuk mencorakkan masa depan anak mereka seperti menghantar ke pusat kemahiran. Taraf kaum wanita juga diangkat tinggi dalam masyarakat moden apabila persamaan gender diimplementasikan; di mana wanita kini boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kaum lelaki dan pendidikan untuk golongan hawa amat dititikberatkan marcapada ini. Seterusnya, masyarakat Melayu kini lebih bersikap individualistik dan tidak mempedulikan hal orang lain. Kita sekarang tidak kisah dengan pandangan orang lain asalkan dapat memuaskan hati kita. Kita juga lebih suka menyibukkan diri dengan urusan masing-masing sehingga terlupa untuk bersosial dan bercampur gaul dengan anggota masyarakat. Sementelahan itu, masyarakat moden kebanyakannya tidak percaya kepada bomoh kerana ia khurafat. Apa-apa masalah yang abnormal pada tubuh badan akan dirujuk dengan segera kepada doktor perubatan kerana masyarakat moden lebih percayakan bukti kukuh hasil kajian sains.


Deduksinya, perbezaan dan percanggahan pemikiran ini berlaku mengikut arus masa. Sesebuah masyarakat itu akan melakukan transformasi secara perlahan-lahan tanpa mereka sedari. Hal ini dibantu oleh  sains dan teknologi serta pendidikan yang disediakan dan didedahkan dalam masyarakat tersebut. Jelasnya, setiap perubahan ini ada yang positif dan ada juga yang negatif. Masyarakatlah yang harus bijak menilai dalam memilih untuk menjadi masyarakat yang bagaimana.

Friday, November 7, 2014

SEJARAH WANITA DAN KELUARGA

  Wanita
Peranan golongan wanita dalam politik tradisional Melayu mencakupi pelbagai bidang untuk dikaji secara mendalam. Kajian akan menumpukan peranan wanita dalam beberapa naskah histiografi tradisional Melayu.
Walaupun pelbagai tanggapan yang melemahkan peranan wanita tradisional Melayu di utarakan, namun beberapa bukti dapat dilihat hasil dari kajian yang dilakukan ke atas teks-teks atau naskhah-naskhah berbentuk sejarah silam.
Sejarah Melayu ( Versi W. G Shellabear) telah dikaji untuk melihat peranan golongan wanita tradisional dalam memainkan peranan mereka dalam struktur politik tradisional Melayu . Tanggapan yang menetapkan wanita sebagai tidak berperanan dalam mengubah atau mempengaruhi sistem politik dan geopolitik di kalangan masyarakat di zaman lampau ratusan tahun lalu, adalah bersalahan sama sekali. Peranan wanita didapati amat besar dan berpengaruh dalam menentukan hala tuju sesebuah kerajaan tradisional, contohnya kesultanan Melayu Melaka.

Sejarah Melayu telah mengisahkan perkahwinan di antara Putri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar Zulkarnain[ 5]. Putri Syahrul Bariyah merupakan puteri kepada Raja Kida Hindi yang di Islamkan oleh Raja Iskandar Zulkarnain. Perkahwinan tersebut telah menghasilkan keturunan yang terbaik di kalangan raja-raja di benua India dan kepulauan Melayu di Nusantara, khususnya di dalam kesultanan Melayu Melaka. Anak lelaki Putri Syahrul Bariyah dan Raja Iskandar Zulkarnain, bernama Raja Aristun Syah berkahwin pula dengan puteri Raja Turkistan dan mendapat seorang putera dinamakan sebagai Raja Aftus. Keturunan dari Putri Syahrul Bariyah ini, akhirnya sampai kepada Raja Suran yang menyerang rantau Asia Tenggara ( Gangga Negara) dan menurunkan keturunan Raja-Raja Melayu. Perkahwinan Raja Suran dengan Putri Mahtabul Bahri di dalam alam ghaib di bawah laut telah menghasilkan tiga orang putera lelaki  bernama Raja Aftabul Ard Nila Pahlawan, Kerisyna Pandita dan Nila Utama.
Peranan wanita yang dapat dikesan dalam perenggan ini adalah, wanita sebagai penerus warisan atau zuriat yang terbaik sehingga mengwujudkan sistem politik beraja yang terbaik dan disegani.

Peranan Wan Empuk dan Wan Malini  yang mengusahakan bidang pertanian di Bukit Seguntang memainkan peranan penting mereka dalam meluaskan jajahan takluk kerajaan Melayu di rantau Melayu dan Nusantara. Wan Empuk berkahwin dengan Nila Pahlawan dan Wan Malini dengan Kerisyna Pandita setelah bertemu dengan putera-putera Raja Suran yang berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain dan Putri Syahrul Bariyah sehingga mendapat keturunan yang bergelar Sang Sapurba. [19]
Perkahwinan Sang Sapurba dengan Wan Sendari puteri Demang Lebar Daun  telah menghasilkan pula dua orang putera iaitu Sang Maniaka dan Sang Nila Utama ,serta dua orang puteri iaitu Putri Seri Dewi dan Putri Cendera Dewi.
Tuan Putri Cendera Dewi puteri Majapahit dikahwinkan dengan Sang Sapurba dan hasil dari zuriat mereka, keturunan raja-raja Majapahit berketurunan Raja Iskandar Zulkarnain.
Permaisuri Iskandar Syah yang memerintah Bentan mengahwinkan pula puterinya Wan Seri Beni dengan putera Sang Sapurba bernama Sang Nila Utama.
Perenggan ini menyentuh mengenai peranan wanita dalam menurunkan zuriat yang menguasai pusat-pusat pemerintahan yang bakal menempuh kegemilangan empayar jajahan takluk.

Pada Bab yang  Ke Sepuluh menceritakan mengenai pembunuhan anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang menjadi gundik kesayangan Raja Iskandar Syah, raja di Singapura. Pembunuhan anak perempuan Sang Rajuna tapa menyebabkan ayahnya membelot pada Betara Majapahit. Serangan tentera Majapahit dibantu oleh Sang Rajuna Tapa dengan membuka pintu kota pada waktu malam dan menyembunyikan bekalan beras sebagai makanan. [52] Implikasinya, Raja Iskandar Syah terpaksa  melarikan diri ke Muar apabila tenteranya mengalami kekalahan.
Perenggan ini membuktikan peranan wanita, walaupun hanya menjadi gundik seorang raja, namun kematiannya menyebabkan kehancuran sebuah negeri yang ditakluk oleh sebuah kuasa ketenteraan dari Majapahit.

Peranan sepupu perempuan Raja Rekan dalam menaikkan Raja Ibrahim yang bergelar sebagai Sultan Abu Syahid dalam pemerintahan kesultanan Melaka menunjukkan permainan penting aspek politik di kalangan wanita tradisional [63]. Akhirnya saudara sepupu Raja Rekan terbunuh dalam gerakan merampas kuasa untuk menaikkan Raja Kassim yang bergelar Sultan Muzaffir Shah.
Perenggan ini membuktikan peranan wanita yang berselindung di sebalik tabir untuk memerintah Melaka di sebalik tabir. Sultan terpaksa mengikut arahan saudara perempuan Raja Rekan untuk melantik Raja Ibrahim sebagai pengganti baginda serta peranan saudara perempuan Raja Rekan yang merupakan seorang wanita, mampu memerintah Melaka di sebalik tabir di dalam zaman yang dikuasai golongan lelaki.
Perenggan ini membuktikan kepintaran seorang wanita dalam merebut jawatan dan menguasai sistem politik di Melaka.

Anak gundik Seri Nara Di Raja bernama Tun Nina Madi telah dilantik oleh Sultan Muzaffir Syah dengan gelaran Tun Bijaya Maha Menteri. Perenggan ini menunjukkan, walaupun Tun Nina Madi adalah seorang anak lelaki dari seorang gundik, dia berjaya mendapat kepercayaan dari seorang  Sultan yang melantiknya memegang jawatan bergelar. Walaupun, ibunya seorang gundik kepada ayahnya,, namun anak seorang gundik berjaya menaiki taraf sosial atau struktur sosial di dalam masyarakat feudal.
Perenggan ini menunjukkan golongan wanita bertaraf rendah mampu menyediakan zuriat yang bakal memainkan peranan aktif dalam bidang politik.

Pertelingkahan yang berlaku di antara Seri Nara Di Raja dan Paduka Raja Tun Perak telah berjaya diselesaikan oleh Sultan Muzaffir Syah dengan menggunakan peranan seorang wanita bagi menyatukan perpaduan di kalangan masyarakat Melaka.
Bendahara Seri Wak Raja telah membunuh diri dengan meminum racun dan penggantinya sebagai Bendahara adalah Seri Nara Di Raja Tun Ali. Anak-anak Seri Wak Raja adalah Tun Kudu yang sangat cantik dan diperisterikan oleh Sultan Muzaffir Syah, adiknya lelakinya bernama Tun Perak dan Tun Perpatih Putih.
Muslihat Sultan Muzaffir Syah dengan mengahwinkan kakak Tun Perak dengan Seri Nara Di Raja yang sudah tua, berfungsi untuk mengelakkan persengketaan dan perpecahan di kalangan penduduk di Melaka. Melaka memerlukan peranan Seri Nara Di Raja dari golongan India dan Paduka Raja Tun Perak yang mewakili golongan Melayu Melaka. Tun Perak akhirnya dilantik oleh Sultan Muzaffir Syah sebagai Bendahara Melaka untuk menggantikan Seri Nara Di Raja yang dilantik sebagai Penghulu Bendahari [71], lantas mengelakkan sebarang pertumpahan darah atau perang saudara di Melaka. Perkahwinan Tun Kudu dan Seri Nara Di Raja menghasilkan zuriat [77] seramai tiga orang, iaitu Tun Tahir, Tun Senaja dan yang bungsu dan bakal menjadi Bendahara Melaka yang penuh kontroversi bernama Tun Mutahir.
Perenggan ini memperlihatkan peranan Tun Kudu yang berperanan sebagai seorang yang berjaya mendamaikan persengketaan di antara dua belah pihak yang bertelagah dan menyatukan komponen politik di Melaka.

Pada bab Keempatbelas, Puteri Raden Galoh Wi Kesuma [83] melakukan pemilihan sendiri untuk mencari bakal suami. Putri Wi Kesuma memilih Kimas Jiwa yang merupakan putera Tanjung Pura yang berasal dari keturunan Bukit Seguntang. Perkahwinan ini mendapat seorang puteri bernama Raden Galuh Cendera Kirana yang [91] yang berkahwin dengan Sultan Mansor Syah yang mengeratkan hubungan diplomatik dan mengelakkan serangan Majapahit ke atas Melaka.
Perenggan ini membuktikan kebijaksanaan seorang puteri raja memilih bakal suami yang bakal menguasai sistem politik di Jawa dan wanita berperanan besar dalam mempereratkan perhubungan di antara dua buah negara yang bersengketaan.

Maharaja China telah menghantar puterinya bernama Putri Hang Li Po [95] untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansor Syah. Perkahwinan ini telah berjaya memberikan faedah perlindungan Dinasti Ming ke atas kerajaan kesultanan Melaka serta mengelakkan serangan tentera Siam ke atas Melaka berlaku.
Perenggan ini menunjukkan perkahwinan diraja diantara seorang raja dari negera kecil dengan seorang puteri raja dari sebuah kerajaan yang masyhur akan memberikan kestabilan jangkapanjang kepada negara kecil tersebut, perkahwinan seumpama ini disebut sebagai perkahwinan politik diraja.

Peranan Raja Tua iaitu nenda Sultan Alauddin Syah untuk membunuh Sultan Mahmud Syah yang masih kecil dan gering sewaktu dijaga oleh Bendahara Tun Perak dan Laksamana Tun Perak menunjukkan peranan wanita dalam [139] merancang pengganti Sultan Melaka.
Perenggan ini sekali lagi menggambarkan peranan wanita yang boleh menyebabkan berlakunya peralihan kuasa atau perancangan teliti, agar calon tertentu menjadi pemerintah menggantikan seseorang raja.

Tun Biajid adalah anak lelaki Laksamana Hang Tuah adalah seorang yang berkhidmat untuk Sultan Mahmud Syah. Walaupun begitu, isterinya telah melakukan perlakuan tidak bermoral dengan Sultan Mahmud Syah menyebabkan Tun Biajid enggan lagi mencampuri urusan pentadbiran Melaka atau membantu Melaka dari segi menyumbangkan tenaganya sebagai pahlawan Melaka.
Perenggan ini menggambarkan implikasi dari perlakuan tidak bermoral seorang isteri telah mengakibatkan suaminya yang berkebolehan dalam mempertahankan Melaka enggan untuk berkhidmat dengan rajanya.

Putri Onang Kening [152], putri raja Kelantan yang tertawan oleh serangan Melaka telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah. Perkahwinan ini menghasilkan Sultan Muzaffir Syah yang akhirnya menjadi Sultan Perak yang pertama.
Perenggan ini menunjukkan bagaimana seorang wanita telah menurunkan seorang zuriat yang keturunannya memerintah negeri Perak sehingga sekarang.

Peranan bonda Sultan Mahmud Syah yang membisikkan di sebalik pintu kepada Sultan Mahmud Syah agar memilih adiknya Tun Mutahir menjadi Bendahara Melaka bergelar Seri Maharaja [154].
Perenggan ini menunjukkan peranan dan campurtangan yang terlalu tinggi oleh seorang wanita dalam mempengaruhi keputusan Sultan dalam melantik Bendahara.

Tun Teja Ratna Benggala [155] anak perempuan Bendahara Pahang Seri Amar Bangsa Diraja menjadi titik perebutan di antara Sultan Mahmud Syah dengan Sultan Abdul Jamil di Pahang.  Hang Nadim berjaya melarikan Tun Teja dari Pahang dan dibawa ke Melaka dan diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah dan mendpat seorang puteri bernama Tuan Putri Amra Dewi.
Perenggan ini memperlihatkan peranan seorang wanita yang menjadi rebutan sehingga hampir-hampir menyebabkan berlakunya peperangan di antara Pahang dan Melaka.

Anak perempuan Bendahara Seri Maharaja TunMutahir, bernama Tun Fatimah adalah seorang yang amat cantik dan jelita [188]. Tun Mutahir mengahwinkan Tun Fatimah dengan saudara terdekat bernama Tun Ali dan Sultan Mahmud Syah yang pertama kali menatap wajah Tun Fatimah di majlis perkahwinan telah jatuh hati dengan Tun Fatimah. Fitnah Raja Medeliar dan Si Kitul kepada Laksamana Khoja Hasan mengenai hasrat Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir untuk menjadi Raja Melaka memberi kesempatan untuk Sultan Mahmud Syah untuk memperisterikan Tun Fatimah. Sultan Mahmud Syah mengarahkan Tun Mutahir, Seri Nara Di Raja, anak Tun Mutahir bernama Tun Hasan Temenggung dan suami Tun Fatimah iaitu Tun Ali  dibunuh atas tuduhan berkomplot merampas kuasa. Sultan Mahmud Syah memperisterikan Tun Fatimah yang menyebabkan kehancuran kesultanan Melaka. Perkahwinan ini juga menyebabkan Tun Fatimah bertindak untuk membalas dendam dan menaikkan anak lelakinya sebagai pengganti kesultanan Melayu Melaka setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah. Apabila Sultan Ahmad Syah anakanda Sultan Mahmud  Syah dengan Unang Kening mangkat, tempat baginda sebagai diganti oleh Raja Muzaffir Syah merupakan adinda Sultan Ahmad dari bondanya Unang Kening. Sultan Mahmud Syah yang terlampau menyayangi Tun Fatimah akhirnya melantik Raja Alauddin sebagai bakal raja, sebagaimana kehendak Tun Fatimah yang inginkan zuriatnya menjadi pengganti Sultan Melaka. Raja Alauddin mengambil alih tampuk pemerintahan setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah.
Perenggan ini menunjukkan bagaimana seorang wanita yang teraniaya bangun untuk meneruskan kehidupannya dan akhirnya meneruskan kesinambungan zuriat Sultan-Sultan Melaka.

Thursday, November 6, 2014

Seterusnya mari kita lihat bidang pencapaian dari beberapa aspek :

Politik
--Wanita itu boleh menjadi penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan.
--Wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhan-pertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai ideal dan cadangan dalam usaha untuk membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran.
--Wanita juga boleh memainkan peranan membangunkan negara melalui ideal-ideal yang dikemukakan menerusi bidang penulisan. Ini adalah merupakan jalan yang terbaik bagi wanita kaum muslimah yang terkongkong oleh peraturan serta hukum yang tidak membenarkan mereka bergaul secara bebas dengan golongan bukan muhrim mereka serta perlu menjaga dan mengawal aurat mereka daripada dicerobohi. Oleh itu menerusi penulisan dengan mengemukakan pandangan dan pendapat diharapkan ianya akan dapat membantu dalam mentadbir negara. Menerusi penulisan juga mereka berpeluang mengemukakan pandangan serta komen ke atas pembangunan yang sedang dilaksanakan dan telah dilaksanakan samada bersesuaian dengan peredaran zaman dan kehendak negara.

Pendidikan
--Sifat kehalusan dan ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki. Kaum wanita merupakan pendidik atau guru yang paling layak untuk mendidik anak-anak dan anak bangsa mereka.
--Peranan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia, boleh dilihat dengan kemunculan maktab-maktab perguruan. Untuk merealisasikan peranan wanita sebagai seorang pendidik, maka sebuah maktab telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka.

Ekonomi
--Sumbangan dan peranan wanita dalam ekonomi negara terbahagi kepada dua iaitu pekerjaan formal dan  pekerjaan tidak formal
1) pekerjaan tidak formal
   --Wanita terlibat dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan untuk pasaran dan kegunaan seharian, dalam pertanian, pengeluaran makanan. Wanita yang terlibat dalam pertanian adalah diantara yang teramai golongan yang dibawah nilai sebagai pekerja dan tidak direkodkan.
   --Sebagai pembantu di rumah, di ladang dan perusahaan-perusahaan kecil, dalam bentuk tidak rasmi serta tidak disenaraikan sebagai tenaga kerja negara.
2) pekerjaan tidak formal
  --kaum wanita bekerja dalam menampung tenaga buruh di sesebuah negara. Banyak jawatan pekerjaan diwujudkan yang memerlukan tenaga wanita terutama dalam tugas-tugas yang tidak sesuai dengan jiwa lelaki seperti tugas yang memerlukan penumpuan dan penelitian yang tinggi.
  --Wanita memegang jawatan tinggi dalam organisasi. Walaubagaimanapun, kebanyakan wanita memegang tugas pengurusan pertengahan. Di Malaysia sebagai contoh, hanya terdapat lima peratus jawatan pengurusan atasan yang diterajui oleh wanita. (Dewan Ekonomi,1994). Walaupun wanita menunjukkan kemajuan pesat dalam pelbagai bidang, namun masih terdapat sikap prejudis terhadap mereka sehingga wujud menara kaca (glass ceiling) dalam dunia korporat. Menara kaca merupakan rintangan yang dihadapi oleh wanita untuk terus maju dalam kerjaya mereka.

Sosial
--Dengan senario yang melanda negara dengan isu-isu gejala sosial yang melibatkan anak-anak gadis seperti bohsia, lari dari rumah, gadis yang murtad, bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan atau GRO, penderaan, perkosaan memberikan kita juga gambaran bahawa pentingnya lagi peranan kaum wanita dalam membasmi gejala-gejala ini demi menjamin pembangunan yang seragam dari pelbagai segi.
--Jelasnya apabila kita membicarakan soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini, ianya harus diukur dari segi tahap kemampuan warganegara terutama kaum wanita. Memang tidak dapat dipersoalkan lagi bahawa peranan kaum wanita dalam pembangunan yang berperspektif sosial perlu di teliti. Ini kerana ianya akan menentukan ke manakah arah perkembangan anak-anak yang kebanyakkannya dididik oleh kaum wanita yang digelar ibu. Oleh itu peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat jelaslah amat penting dalam membangunkan ummah serta negara.

Keluarga
--sebagai pengurus rumahtangga
--mendidik, mengasuh dan membimbing anak
    -keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa
--peranan kaum ibu sebagai penasihat dan pengasuh supaya dapat memulihkan keutuhan fungsi institusi keluarga
    -penerapan nilai positif baru yang berkesan mengelakkan generasi muda kita daripada terpengaruh dengan nilai yang bersifat negatif
     yang diperolehi melalui media massa dan persekitaran di luar keluarga dan sekolah.

Masyarakat
--kaum wanita berperanan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menjamin kebajikan masyarakat secara amnya. Kaum wanita hari ini telah berjaya meluaskan lagi rasa penglibatan mereka dalam soal-soal kebajikan kepada bidang yang lebih serius dan besar. Mereka telah berani memperjuangkan perubahan-perubahan pada peraturan-peraturan bekerja dan hak-hak pekerja wanita supaya mendapat layanan yang baik dan taraf yang sama dengan kaum lelaki.
--dalam bidang kejururawatan, doktor sakit puan dan sebagainya.Inilah tugas-tugas penting yang diperlukan oleh masyarakat dan dalam hubungan ini masyarakat mempunyai hak untuk mewajibkan kaum wanita memenuhi bidang pekerjaan ini sepertimana masyarakat berhak mengarahkan kaum lelaki memikul tugas-tugas berperang dan keselamatan negara.
--Melalui Dasar Wanita Negara kaum wanita dapat memperjuangkan agar matlamat kesamaan dam persamaan dengan kaum lelaki dapat dijadikan teras dasar pembangunan yang berorientasikan rakyat agar kaum wanita sama-sama dapat menyumbang pada pembangunan negara.

Kerjaya
Ketrampilan dan kredibiliti wanita telah terbukti apabila semakin ramai wanita menyandang jawatan-jawatan penting. Bukan setakat jawatan dalam Kerajaan seperti Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Kementerian, Gabenor Bank Negara, Hakim, Pakar Bedah, Pakar Astronomi dan sehinggalah kepada Juruterbang Pesawat Pejuang, bahkan banyak lagi jawatan kritikal dalam sektor swasta seperti perbankan, kewangan dan teknologi maklumat yang kini diterajui oleh wanita. Perkembangan ini jelas memperlihatkan wanita Malaysia memainkan peranan yang semakin penting dalam mencorakkan hala tuju dan pembangunan negara.

Tenaga kerja kita akan kurang dengan begitu mendadak sekiranya mengecualikan sumbangan wanita kerana hampir separuh sumbangan tenaga kerja datangnya dari kaum wanita. Lebih-lebih lagi apabila kita lihat trend masakini dimana jumlah penuntut wanita di institusi pengajian tinggi adalah di antara 60 peratus dan 70 .Wanita mempunyai sifat yang tekun dan gigih, serta mempunyai perasaan bertanggungjawab dan sanggup bertungkus lumus merebut peluang yang sedia ada.

Overview Wanita dan Keluarga











Post ini adalah merangkumi aspek-aspek yang ada di dalam kajian Wanita Dan Keluarga dalam agama Islam. In syaa Allah ini adalah sebagai pengenalan kepada apa yang bakal dihuraikan secara lebih lanjut pada post yang akan datang. Selamat membaca! Semoga ianya bermanfaat. :) 


Latarbelakang
       Wanita terdiri hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri,ibu serta pekerja yang mempunyai gaji sendiri.Mereka memainkan peranan penting di dalam pembentukan generasi dan juga di dalam struktur politik tradisional Melayu.Tanggapan yang menetapkan wanita sebagai tidak berperanan dalam mengubah atau mempengaruhi system politik di kalangan zaman puluhan dahulu adalah salah sama sekali.Wanita berperanan sangat besar di dalam menentukan hala tuju sesebuh kerajaan tradisional,contohnya Kesultanan Melayu Melaka.
-                       Nilai murni dari perenggan ini adalah kita patut memberi peluang kepada wanita untuk membuktikan kemampuan mereka kerana setiap orang ada kemampuan masing-masing.

Kepercayaan                     
       Orang Melayu pada zaman dahulu mempunyai banyak pantang larang berkaitan adat dan budaya warisan nenek moyang. Pantang larang ini adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik golongan muda atau tua kearah yang lebih baik. Apa yang disebut bukannya untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebaliknya kerana banyak perkara yang terjadi adalah mungkin kebetulan atau sebagai pembalasan di atas apa yang telah kita lakukan.
       Sebagai contoh,kita dilarang mencaci ketika hamil kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat, tidak boleh makan pisang kembar kerana dikhuatiri akan beranak kembar,jangan minum air sambil makan kerana  bimbang perut akan buncit .Selain itu,wanita yang baru melahirkan anak perlu melalui tempoh berpantang  44 hari jika tidak, akan memberikan kesan pada masa akan datang
-                     Nilai murni dari segi kepercayaan orang Melayu zaman dahulu adalah pantang larang itu akan membuatkan kita terhindar daripada melakukan sesuatu yang tidak elok sama ada akan memberi  kesan kepada diri sendiri atau kepada sekeliling kita.

Pencapaian
     Wanita pada masa dulu juga sudah mencapai kejayaan yang meberangsangkan sama ada dalam bidang pendidikan mahupun politik. Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang turut serta dalam pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam, malah orang yang pertama gugur syahid dalam Islam juga daripada kalangan wanita iaitu Saiyidah Sumayyah. Saidatina Aisyah Abu Bakar, isteri Rasulullah SAW adalah wanita contoh dalam bidang pendidikan. Beliau mempunyai ilmu yang luas dalam bidang fiqh, kemasyarakatan dan politik. Beliau menjadi pakar rujuk ilmu hadis, seorang pemidato dan sasterawan.
-                   Apa yang dapat disimpulkan dari perenggan ini adalah Islam sama sekali tidak melarang atau menghalang, malah membenarkan wanita bekerja di luar rumah dengan syarat pekerjaan itu mesti pekerjaan halal, diredai Allah serta mendapat ganjaran baik. Sejarah Islam membuktikan bagaimana peranan wanita yang melakukan pekerjaan di luar rumahnya berjaya membantu ke arah kecemerlangan Islam.Namun apabila wanita bekerja,dia perlu menyelesaikan kerja rumah sebelum memberi tumpuan kepada tugas pejabat. Selain itu wanita yang bekerja di luar rumah perlu menjaga kehormatan diri dan ketakwaan kepada Allah.